Bunga Yang Cantik Jarang Harum
Wanita sinonim dengan kecantikan.
Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita –
kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan
cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik
bagaimana? Mereka bukan wanita?
Tunggu dulu, setiap yang
Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan.
Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan
kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!
Soalnya, di manakah
letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada
para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang
merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada
kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan
kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang
mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya.
Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif
sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.
Namun sebagai seorang
Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita
tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja
kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.
Misalnya, kalaulah
kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan
usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut
tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan
yang sejati dan abadi.
Sebagai hamba Allah, kita
hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa
yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan
itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak.
Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak
manusia.
Kecantikan akhlak jika ada
pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian
Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan
akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi
dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia.
Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya
buruk, pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan
pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi
hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua
orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang
yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia
tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of
beholder'.
Rasulullah saw juga telah
pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita
solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan
negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan
terdidik dengan baik.
Jika ada isteri yang
solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan
urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang
dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan
segala-galanya indah... mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.
Kenapa banyak wanita yang
memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi,
kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan
kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua'lam. Tetapi apa yang pasti, menurut
Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan
hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan
untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata
orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang
lumrah.
Tanpa
iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan,
yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat
apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada
yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa
dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi
salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik
jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau
cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah
pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat
kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar.
Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang
benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman
itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini
buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa
cantik.
Jadi perkara kedua ialah
susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan
mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat
ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi
kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki.
Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau
kita gunakan untuk mengumpat?
Ya, kecantikan akhlak...
boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu
bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa...
tapi peluangnya untuk "cantik" tetap serupa!



Komentar
Posting Komentar